Translate

Rabu, 5 November 2014

UWAIS AL-QARNI... seorang Wali Allah...

Assalammualaikum wbt, 
Tahukah kamu siapakah Uwais al-Qarni? Uwais al-Qarni merupakan pemuda yang disebut-sebut namanya oleh Rasullulah saw kepada para sahabat baginda. 

Rasullulah saw pernah berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra bahawa akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu (zaman selepas kewafatan Rasullulah saw). 

Tujuan Rasullulah saw menyuruh Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra mencari Uwais al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra). 

Marilah kita lihat apa istimewanya Uwais al-Qarni sehingga Rasullulah saw meminta sahabat mencari dan meminta doa darinya. 
Memang benarlah kata-kata Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra. Kedua-dua mereka yang memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar mereka, tidak mungkin dia adalah orang yang Rasulullah saw sebut-sebutkan ini kerana, Uwais Al-Qarni dianggap sebagai seorang yang kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk setempat.
Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh badannya, yakni sejenis penyakit kulit yang tidak digemari ramai. Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais Al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk mengerjakan ibadat haji. di Mekah. Ibunya menyuruh Uwais Al-Darni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais Al-Qarni  tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi diri daripada cuaca panas matahari dan hujan. 

Uwais tidak mampu menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi untuk memiliki unta.
Namun atas permintaan ibunya yang sangat Uwais kasihi. Uwais Al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah di atas ‘Tilal’ (tanah tinggi). Rumah untuk lembu itu dibina di atas bukit, apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. 

Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas 6 bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais Al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas 8 bulan, apabila sampai musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya selama ini adalah satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Uwais juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya:
Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?
Uwais Al-Qarni menjawab:
Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi:
Bagaimana pula dengan dosa kamu?
Uwais Al-Qarni menjawab:
Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.
Ibunya berkata lagi:
Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.
Uwais Al-Qarni berkata:
Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.
Ibunya menambah:
Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.
Akhirnya Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. 

Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais Al-Qarni kerana permintaannya, kerana sopak ini adalah satu anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah saw kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra:
“Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra dapat berjumpa dengan Uwais Al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya beliau berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata:
“Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.”
Maka Uwais Al-Qarni pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, saidina umar mahu membuat surat kepada Gabenor Kufah supaya melayan Uwais Al-Qarni dengan layanan yang istimewa. Namun begitu ditolak dengan baik oleh Uwais Al-Qarni. 

Lalu Uwais Al-Qarni menjawab dengan lembut :
“Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”
Diriwayatkan semasa kewafatan beliau, terlalu ramai “orang” yang menyempurnakan jenazah beliau. Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad. Agak menghairankan kerana pada masa hidup beliau tiada orang yang memperdulikan beliau yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila. Siapakah “orang-orang” tersebut. Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit yang terdiri daripada malaikat-malaikat.
Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.

Khamis, 30 Oktober 2014

Kuliah 1: Pengenalan kepada Hukum



PENYAMPAI    : EN. MOHD SUKARDI ZAKARIA (SK BUKIT RANGIN)

TAJUK              : AKIDAH
 
Allah berfirman dalam surah Asy Syuura ayat 52.

Yang bermaksud: Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus. (Asy Syuura ayat 52).

Tiap-tiap seorang Mukallaf wajib mengetahui asas-asas agama, iaitu: Rukun Islam, Rukun Iman, dan ‘Aqaid Al-Iman.
 

1.      ‘AQAID AL-IMAN

Ertinya: Simpulan-simpulan atau ikatan-ikatan iman (kepercayaan seseorang terhadap Allah dan Rasulnya).
 
Perkara yg terkandung di dalamnya:

1.  Sifat Wajib Allah, Mustahil dan Harus.
2.  Sifat Wajib Rasul, Mustahil dan Harus.
3. Perkara Sam’iyyat.
 
2.      HUKUM

Menyatakan hukum

Pengertian hukum ialah menetapkan sesuatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menidakkan sesuatu perkara kepada suatu perkara yang lain.

Mengetahui hukum akal

Wajib mengetahui hukum akal kerana ia merupakan jalan mengenal Allah.

 Bahagian-bahagian hukum

1.      Hukum Akal.
2.      Hukum Syara’.
3.      Hukum Adat.

Pengertian Hukum Akal

Menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan daripadanya. Ia tidak berkehendak kepada percubaan sebagaimana Hukum Adat dan tiada bergantung kepada suatu perbuatan Mukallaf sebagaimana Hukum Syara’.

Terbahagi kepada 3: Wajib, Mustahil, Harus.

Wajib Akal: Suatu perkara yang tiada diterima akal akan tiadanya (suatu  perkara itu mesti ada). Contoh: ada gerak atau diam.

Mustahil Akal: Suatu perkara yang tiada diterima akal akan adanya (suatu perkara itu mesti tiada). Contoh gerak dan diam tidak boleh serentak.

Harus Akal: Suatu perkara yang boleh diterima oleh akal ada atau tiadanya. Contoh: boleh gerak atau diam.

Hukum Syara’.

Erti: Titah perintah Allah berkenaan perkara-perkara yang diperbuat oleh seseorang Mukallaf sama ada dengan jalan tuntutan (tidak bersandar) atau hantaran (bersandar).

Terdapat dua (2) bahagian:

A.     Hukum tidak bersandar (Taklifiyyah)

1.      Wajib
2.      Sunat
3.      Haram
4.      Makruh
5.      Mubah

B.      Hukum yang bersandar (Wad'iyyah)

1.      Sebab
2.      Syarat
3.      Mani’
4.      Sah
5.      Batal

Pengertian Hukum Adat.

Ertinya: Menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan daripadanya dengan dicuba beberapa kali tetapi adakalanya boleh menyalahi daripada ketetapannya.

Contoh: api

Bhgn. Hukum Adat: ada empat (4):

1. Ada dengan ada
2. Tiada dengan tiada
3. Ada dengan tiada
4. Tiada dengan ada

Nota:

Wajib Syar’ie dan Wajib ‘Aqli itu berlainan pengertian keduanya. Maka tanda yang menunjukkan Wajib Syar’ie itu ialah didatangkan dengan perkataan “atas” kemudian daripada perkataan wajib seperti dikata: “Wajib atas tiap-tiap mukallaf”. Maksudnya ialah Wajib Syar’ie.

            Dan tanda yang menunjukkan Wajib ‘Aqli itu ialah dengan perkataan “bagi” atau “pada” kemudian daripada perkataan wajib seperti dikata: “Wajib bagi Allah atau wajib pada zat Allah.” Maksudnya ialah Wajib “Aqli.

Sumber Rujukan:
1. Risalah Al-Misbah Al-Munir, Fi Ma'rifatillah Al-Qodir, Penyusun: Abdul Aziz bin Ismail Al-Fatani, Cetakan 1994
2. Kitab Tauhid Darjah 4 Bagi Murid Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Johor, Terbitan 1955 Cetakan 1974
 
Tambahan:

1.      Islam bermula dengan akidah, bukan fekah.
2.      Nabi Nuh berdakwah 950 tahun, hasilnya 80 umat.
3.      Nabi Muhammad 13 tahun dakwah akidah di Mekah.
4.      Surah Qaf – An-Naas. : surah tentang akidah.
5.      Zaman sekarang lebih suka perkara yg membatalkan wuduk / solat berbanding yg membatalkan akidah.
6.      Jadi akidah itu hanya satu dan sama di setiap masa dan tempat di alam ini dan tidak berubah-ubah kerana pergantian manusia dan keturunan, Allah itu satu tiada beranak dan diperanakan. surah Asy-Syuurah ayat 13.

Baiklah... sebelum kita bersurai, apa kata kita klik di pautan ini hanya sekadar menambah ilmu pengetahuan.

Klik -->
idea

Selasa, 28 Oktober 2014

Hari ini belajar TMK....

dengan penuh tekun dan minat... aku mempelajari sesuatu yang baru di dalam kursus TMK KSSR Tahun 5 2015. Dahulu aku pernah membina laman blog sendiri... yang berbayar kepada google. tetapi laman itu telah dihapus secara automatik kerana sudah dua tahun aku tidak updatenya.

dan pada hari ini, aku cuba membina laman web baru.... mungkin ada sesuatu yang bermanfaat untuk aku kongsi dan hasilkan....

terima kasih pengajarku.